Wednesday, December 22, 2010

Bila ada hati yang terluka......

                                Apabila kita menjalinkan sesuatu perhubungan,tidak kira hubungan yang sebagaimana pun sama ada hubungan persahabatan,persaudaraan ataupun suami isteri,kita tidak dapat lari dari melakukan kesalahan. Sama ada melalui pertuturan kata-kata,penulisan ataupun lenggok bahasa badan kita. Semuanya bergantung kepada nilaian dan tanggapan orang yang mendengar,membaca atau melihatnya. 
 
                            Terkadang dalam gurauan yang selembut sutera sekali pun,gurauan itu kadang-kala boleh menyakitkan hati orang lain,walhal kita tidak bermaksud apa-apa dengan gurauan tersebut. Oleh kerana itu,kadang-kala perlu kita nilai sensitiviti seseorang dalam menilai gurauan kita itu.Jangan sampai menyentuh hati kecil seseorang yang letaknya jauh disudut hati. 
 
                              Dalam berbicara terkadang ada kasarnya ada halusnya,ada manisnya ada pahitnya.Dalam pengluahan rasa hati melalui pena,ada tajamnya ada  tumpulnya,ada indahnya ada buruknya.Dalam mempamirkan perasaan melalui bahasa tubuh badan,ada yang mudah difahami dan ada yang sukar untuk diterjemahkan.Semuanya bergantung kepada kefahaman dan persepsi orang yang menerimanya.     
 
                           Hati manusia tiada siapa dapat membaca. Apa yang dilihat dari luaran tidak semestinya sama dengan apa yang ada di dalam.Jangan disangka orang yang nampak lembut itu lemah.Hatinya mungkin sekeras batu.Begitulah sebaliknya. Pendek kata berfikirlah sewaras-warasnya sebelum melakukan sesuatu agar tidak menyakitkan hati seseorang kerana lain orang lain persepsinya dalam menilai sesuatu perkara.Mungkin indah bagi kita tapi jelek bagi orang lain.Tepuk dada tanya selera......